Followers

‘CALAQISYA MERIAHKAN INDUSTRI FESYEN MUSLIMAH’


BY: NURUL IMAN NOR AZNAN 
FOTO: AFIQ RAZALI 
(sinarHarian)
18 Mei 2014


  

BILA disebut sahaja CalaQisya, pasti ramai wanita akan teruja terutamanya mereka yang sering mengikuti perkembangan fesyen Muslimah. CalaQisya memang tidak asing lagi dalam dunia fesyen Muslimah di negara ini meskipun baharu sahaja tiga tahun bertapak dalam industri fesyen. Siapa sangka, bermula dengan hanya menjual tudung di sekitar universiti dan di Facebook, tiga beradik ini mula memberanikan diri untuk menyertai bazar fesyen dan kemudiannya mengambil langkah untuk lebih serius dalam bidang bisnes dengan penubuhan CalaQisya.

CalaQisya kini mempunyai dua cawangan iaitu di Shah Alam dan Johor Baharu dan cawangan terbaharu mereka dijangkakan mula beroperasi di Ipoh pertengahan tahun ini. Baru-baru ini, CalaQisya mengadakan jualan ulang tahunnya yang ketiga di butik mereka di Shah Alam pada 3 dan 4 Mei lalu.

Ketiga-tiga mereka, Farah Ilyana Khairuddin, 27, Farah Mislina Khairuddin, 24, dan Farah Azrina Khairuddin, 21, mempunyai perwatakan berbeza dari segi cara berpakaian dan minat. Namun, apa-apa sahaja yang berkaitan dengan bisnes kebiasaannya mereka bersependapat.
Penerapan nilai fesyen Muslimah yang bermula sejak kecil lagi oleh ibu mereka membuatkan tiga beradik ini tertarik untuk mengeluarkan jenama pakaian sendiri yang direka oleh mereka sendiri pada usia yang muda.

Cala yang bermaksud istana dan Qisya yang bermaksud kebaikan dipilih untuk dijadikan jenama rasmi dan sehingga kini, CalaQisya terus mendapat sambutan hangat peminat fesyen Muslimah. Menurut Azlina, nama yang dipilih perlu membawa maksud yang baik kerana nama itu akan dijadikan panggilan dan apa yang dipanggil itu adalah satu doa. “Jadi, biarlah ia mendoakan perkara yang baik sentiasa,” tambahnya lagi.

Dek kerana kekangan dalam mencari baju yang menepati cara seorang Muslimah berpakaian, Azrina mencadangkan untuk mereka busana Muslimah mengikut gaya terkini untuk dijual dan antara rekaan busana yang paling mendapat sambutan adalah Lacey Ara Jubah (LAJ) yang terus-menerus mendapat permintaan sehingga kini sejak diperkenalkan setahun yang lalu.


Selain itu, CalaQisya turut mempunyai jenama kasut mereka sendiri iaitu CalaMan yang turut mendapat sambutan hangat. CalaMan diuruskan oleh suami Ilyana sendiri iaitu Hazwan Faiz bersama beberapa rakan yang lain. Antara rangkaian kasut jenama CalaMan ialah Pinoccio, Orchid dan Yasmeen. Apa yang istimewa mengenai kasut-kasut ini adalah ia kasut tinggi namun platform di bahagian hadapan kasut ini tinggi dan membuatkan ia lebih selesa dipakai untuk masa yang lama berbanding kasut tumit tinggi yang biasa ada di pasaran.